Ahad, 17 Ogos 2008

Kata tunggal

DALAM pembentukan kata bahasa Melayu, terdapat 4 proses. Proses ini menghasilkan bentuk-bentuk kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk, dan kata ganda.
Kata tunggal (primary word) ialah kata yang terbentuk daripada satu morfem bebas tanpa menerima sebarang imbuhan, sama ada awalan, sisipan, akhiran atau apitan. Contoh kata tunggal: ini, itu, sana, sini, bakal, dan lain-lain.
Kata tunggal dapat mengandungi satu suku kata atau lebih daripada satu suku kata. Sesuatu suku kata pula terbentuk daripada satu huruf vokal sahaja, atau satu huruf vokal yang disertai satu atau beberapa huruf konsonan. Konsonan itu dapat hadir di hadapan vokal atau di belakangnya, atau di hadapan vokal dan di belakangnya.
Kata tunggal bahasa Melayu yang terdiri daripada hanya satu huruf vokal dan satu huruf konsonan (sebagai satu bentuk suku kata) tidak ada. Tetapi dalam bahasa lain, bentuk kata yang begini memang wujud. Maksudnya, ada kata yang dapat terbentuk daripada satu huruf vokal sahaja. Misalnya: “a” bermaksud sesuatu (bahasa Inggeris), “o” bermaksud atau (bahasa Tagalog), dan “i” bermaksud lalat (bahasa Tamil).
Bentuk kata daripada satu konsonan sahaja tidak dapat membentuk satu kata tunggal melainkan konsonan itu berganding dengan huruf vokal, sama ada di hadapan atau di belakangnya. Contohnya: kata “am” (VK), dan “yu”, “ya” (KV).
Dalam bahasa Melayu, terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi satu suka kata, dan kata tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih.
Dari segi penyukuan kata, perkataan bahasa Melayu dapat mengandungi satu suku kata atau beberapa suku kata. Sesuatu suku kata itu pula boleh terdiri daripada satu huruf vokal (V), satu vokal disertai satu huruf konsonan (VK), atau satu huruf vokal dengan beberapa huruf konsonan (VKK). Unsur-unsur itu pula hadir di belakang vokal, atau di hadapan vokal dan di belakangnya secara serentak (VK atau KV). Ada konsonan yang dapat hadir secara bergugus (KK).
Selain kata Melayu asli, ada antara sesuatu kata tunggal itu merupakan serapan daripada bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Ada juga kata tunggal wujud daripada kependekan bagi perkataan-perkataan daripada dua suku kata atau lebih. Misalnya kata “ku” untuk aku, “mu” untuk kata kamu, “tu” untuk kata itu. Namun demikian, perkataan-perkataan itu tidaklah dianggap satu suku kata melainkan kata yang disingkatkan ejaan atau sebutannya.
Yang berikut dikemukakan contoh-contoh kata tunggal bahasa Melayu dengan satu suku kata, dan dua suku kata atau lebih. Kehadiran suku-suku kata itu terbentuk daripada beberapa pola gabungan huruf konsonan dan vokal.
Daripada kata tunggal dengan satu suku kata, terdapat 7 pola gabungan konsonan vokal, iaitu pola KV, VK, KVK, KKVK, KKKV, dan KKKVK. Contohnya kata “yu” (KV), “am” (VK), “stor” (KKVK), “bank” (KVKK), “skru” (KKKV), dan “skrip” (KKKVK).
Tentang kata wang, jong, gong, spring dan kata-kata lain yang seumpamanya, bentuk ng dalam kata-kata tersebut, sebenarnya, mewakili satu bunyi bahasa yang lambang fonetiknya ialah [?]. Oleh itu, semua kata tersebut berpola KVK.
Harus diingat, pola-pola yang mengandungi gugus konsonan seperti bentuk kata draf, seks, skru dan skrip merupakan pengambilan perkataan-perkataan daripada bahasa asing, iaitu bahasa Inggeris. Sebenarnya, bahasa Melayu tidak mempunyai pola-pola KKVKK dan beberapa pola lagi yang wujud dalam beberapa bahasa asing.
Antara contoh kata tunggal dengan dua suku kata termasuklah kata ibu (V+KV), air (V+VK), orang (V+KVK), asli (VK+KV), indah (VK+KVK), rua (KV+V), leka (KV+KV), sumbu (KVK+KV), dan jemput (KVK+KVK).
Pola susunan konsonan vokal kata tunggal dengan tiga suku kata agak banyak; banyak daripadanya ialah kata serapan. Antaranya: kata cuaca (KV+V+KV), buapak (KV+V+KVK), barua (KV+KV+V), mentua (KVK+KV+V), aqidah (V+KV+KVK), akaun (V+KV+VK), maksimum (KVK+KV+KVK), dan kumandang (KV+KVK+KVK).
Terdapat sebilangan kecil kata tunggal dengan empat suku kata atau lebih. Kebanyakannya terdiri daripada kata ambilan. Antara kata yang dimaksudkan: keluangsa (KV+KV+VK+KV), kerempagi (KV+KVK+KV+KV), sandiwara (KVK+KV+KV+KV), singgahsana (KVK+KVK+KV+KV), universiti (V+KV+KVK+KV+KV), dan maharajalela (KV+KV+KV+KV+KV+KV).Selain itu, kata akronim juga tergolong dalam jenis kata tunggal juga. Akronim ialah singkatan kata yang dibentuk dengan cara menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dengan suku kata daripada satu rangkai kata. Kata akronim ditulis dan dilafazkan sebagai kata yang wajar, contohnya: kugiran (kumpulan gitar rancak), Mara (Majlis Amanah Rakyat), Gapena (Gabungan Penulis Nasional), Bernama (Berita Nasional Malaysia) dan ubahsuai (ubah suai).

Para-para guru, setiap orang murid

KATA bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung sesuatu kata nama. Fungsinya, tidak lain, menjadi penerang jumlah pada frasa, dan hadir sebelum frasa tersebut. Contohnya: dua minggu, setengah markah, dan ribuan penonton. Kata-kata dua, setengah, dan ribuan ialah kata bilangan yang hadir sebelum frasa nama, dan menerangkan frasa nama minggu, markah, dan penonton.
Kata bilangan terbahagi kepada enam jenis, iaitu:
(a) Kata bilangan tentu (satu, sepuluh, dua ratus tiga puluh, dan sebagainya)
(b) Kata bilangan tak tentu (beberapa, para, sesetengah, dan sebagainya)
(c) Kata bilangan pecahan (suku, setengah, dua pertiga, dan seterusnya)
(d) Kata bilangan pisahan (setiap, tiap-tiap, dan masing-masing)
(e) Kata bilangan himpunan (berbagai-bagai, pelbagai, kedua-dua, ribuan)
(f) Kata bilangan tingkat (pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya)
Contoh penggunaan keenam-enam jenis kata bilangan tersebut adalah
seperti yang berikut:
1. Sekolah ditutup selama dua minggu. (kata bilangan tentu)
2. Setengah-setengah penjaga tidak menghiraukan pendidikan anak-anak mereka. (kata bilangan tak tentu)
3. Saya kehilangan setengah markah kerana kesalahan ejaan.
(kata bilangan pecahan)
4. Masing-masing mahasiswa berkenderaan sendiri ke kampus.
(kata bilangan pisahan)
5. Sudah berpuluh-puluh tahun kami menetap di sini.
(kata bilangan himpunan)
6. Rabuan Pit mendapat tempat pertama dalam perlumbaan itu
(kata bilangan tingkat)
Ada beberapa peraturan tertentu yang harus dipatuhi dalam penggunaan kata bilangan ini. Kata bilangan berbagai-bagai, setengah-setengah (sesetengah), tiap-tiap, kedua-dua dan berbulan-bulan tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya menjadi *berbagai, *setengah, *tiap, *kedua, dan *berbulan. Misalnya: *berbagai ragam. (seharusnya: berbagai-bagai ragam), *setengah pelajar (seharusnya: sesetengah pelajar, atau setengah-setengah pelajar), *Tiap atlet (seharusnya tiap-tiap atlet, atau setiap atlet).
Kata bilangan para tidak boleh diulang atau digandakan menjadi para-para. Hal ini demikian kerana maksudnya berlainan, iaitu para bererti semua, manakala para-para bererti rak. Bentuk yang salah seperti: *para-para pelajar (seharusnya: para pelajar).
Kata bilangan tak tentu seperti segala, semua, banyak, sedikit mengandungi makna jamak. Oleh itu, kata nama yang mengikutinya tidak perlu diulang. Contoh kesalahan: *segala persiapan-persiapan, *semua guru-guru, *para imam-imam, *sesetengah ibu-ibu bapa, *beberapa acara-acara, *sekalian kerani-kerani, dan *seluruh penduduk-penduduk. Kesemua frasa tersebut seharusnya ditulis sebagai segala persiapan, semua guru, para imam, sesetengah ibu bapa, beberapa acara, sekalian kerani, dan seluruh penduduk.
Akhir sekali, kesalahan kerana mendekatkan kata bilangan tentu dengan kata bilangan pecahan seperti suku dan setengah untuk perhitungan. Misalnya: *Satu suku jam, dan *enam setengah ringgit, yang seharusnya ditulis satu jam suku, dan enam ringgit setengah.
Lazimnya, kata bilangan berpasangan dengan penjodoh bilangan untuk menjadi sejenis penerangan kepada kata nama yang mengikutinya. Misalnya: tiga orang banduan, empat bilah keris, lima pasang kasut, dan sebagainya.
Ada kalanya, penjodoh bilangan tidak digunakan bersama-sama dengan kata bilangan. Misalnya sekalian peserta (bukan:*sekalian orang peserta), segala binatang (bukan: *segala ekor binatang), dan seluruh negeri (bukan *seluruh buah negeri).
Penjodoh bilangan tidak juga diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak atau mujarad. Misalnya: beberapa cara, ketiga-tiga sifat, segala pendapat, setiap aliran, suatu hal, suatu perbuatan, dan sebagainya.
Bagaimana pula halnya dengan bentuk sebuah impian, sebuah penghargaan, sebuah bangsa, dan sebuah kenangan manis? Oleh sebab, impian, penghargaan, bangsa dan kenangan manis merupakan kata nama abstrak, maka kata-kata itu tidak perlu akan penjodoh bilangan. Cukuplah kita ungkapkan sebagai suatu impian, suatu penghargaan, satu bangsa, dan satu kenangan manis sahaja.Demikian huraian tentang kesalahan penggunaan beberapa kata bilangan dan penjodoh bilangan yang sering dapat kita temukan dalam kegiatan berbahasa. Berhati-hatilah kita menggunakan kedua-dua bentuk kata ini.

Selasa, 12 Ogos 2008


Kesalahan Imbuhan

Semalam saya sempat bersiar-siar di sebuah kompleks beli-belah di bandar. Sambil meninjau-ninjau barang keperluan saya terpandang papan billboard dan sign boarg atas pentas utama kompleks itu. Menarik tetapi terdapat pelbagai kesalahan bahasa....terutama sekali soal pengimbuhan.
Dalam bahasa Melayu perkataan bahaya tidak diimbuhkan dengan imbuhan awalan mer- kerana imbuhan tersebut tidak wujud. Imbuhan yang sesuai dan wujud ialah ber-. Jadi, kita sepatutnya meneja perkataan itu sebagai berbahaya bukan merbahaya.
Satu lagi kesalahan yang terdapat di ruang pentas itu ialah penggunaan kata sendi di. Ayat yang tertera pada sign board atas pentas itu berbunyi seperti berikut:
Dilarang naik diatas pentas.
Kata di boleh dieja rapat sebgai satu perkataan sekiranya bersifat sebagai imbuhan dalam ayat pasif kerana ia dikenali sebagai kata penanda pasif. Bagaimanapun, dalam konteks ayat larangan di atas kata di bertindak sebagai kata sendi. Jadi, kita mestilah mengejanya secara terpisah kerana kata itu merujuk kepada maksud tempat dan masa ketika itu.
Timbang-timbangkanlah.

Jumaat, 8 Ogos 2008

Salam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca blog yang budiman. Blog ini disediakan untuk membolehkan kita berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang penggunaan bahasa Melayu, khasnya. Semoga dengan adanya laman sesawang seumpama ini kita dapat berkongsi idea, pengetahuan, pengalaman tentang penggunaan bahasa Melayu serta sama-sama memerah tenaga membangun, mengembang dan memajukan bahasa kebangsaan kita ini. Semoga bahasa ini akan terus kekal ditutur dan menjadi perantara komunikasi antara pihak yang bersangkutan. Tarafkan semula bahasa kita sebagai linguafranca. Selamat membaca.